-->

Saturday, November 17, 2012

Memberilah..

Terkadang kita selalu memikirkan apa yang telah seseorang beri / buat baik kepada kita sehingga terkadang kita terlupa untuk bertanya diri sendiri apa yang telah kita beri / buat baik pada seseorang itu. Mari kita berusaha menjadi manusia yang suka memberi daripada hanya menerima..=)

Kek Pisang yang gebu

Mengidam? Bukan kerana pregnant ye. Tapi memang sudah lama mengidamkan kek pisang ni. Ditambah lagi dengan susunan pisang yang cantik di atas meja dapur. Makin memanggil-manggil untuk dibuat kek pisang. 

Tapi, saya memang tidak pernah buat kek pisang ni. Teringat dahulu pernah makan kek pisang yang mungkin terlebih baking soda nya, agak pahit dan rasa payau di tekak. Bertanyakan sahabat sekiranya ada yang menyimpan koleksi resepi kek pisang yang sedap, tapi nak yang sukat guna cawan, tak mahu yang timbang-timbang. Cerewet! Jazakillah, ada juga sahabat yang sudi berkongsi resepi. Tapi resepinya kek pisang bercoklat sedangkan "nafsu" ini sedang menginginkan yang plain. Macam-macam! ^_^

Akhirnya, dengan bantuan En. Google, alhamdulillah saya terjumpa satu resepi yang sangat mudah dan hasilnya kek pisang yang sedap dan gebu. Cubalah ye. Sumber

Kek pisang gebu

Bahan-bahan:
2 cwn tepung gandum
1 s/k baking powder
1 s/k soda bikarbonat
1 cawan gula
3 biji pisang yang telak dilenyek
1/2 cawan minyak masak
1 sudu kecil esen vanila
2 biji telur


Cara:

1. Ayak tepung gandum, soda bikarbonat dan baking powder, gliss acuan kek dan panaskan oven 180darjah.

2. Kemudian, putar telur dan gula hingga kembang, masukkan esen vanila dan pisang, putar lagi dan kemudian masukkan tepung.

3.Akhir sekali baru masukkan minyak masak dan kacau sebati, selepas itu masukkan dalam acuan kek dan  bakar pada suhu 180 darjah selama 40 minit atau satu jam.


4. Setelah siap dibakar, keluarkan dari acuan dan sejukkan atas redai, sedia untuk dihidangkan, selamat mencuba.


End product:

 

Monday, November 5, 2012

Sabar


Saya diajar untuk kenal erti sabar. Satu sifat yang sukar untuk dizahirkan tetapi rasa lega dan berjaya apabila mampu dilaksanakan. Didik diri untuk redha dan terima segala apa yang berlaku kerana itu adalah ketentuan dariNya.

Sunday, November 4, 2012

Bersangka baiklah..



Saya diajar untuk bersangka baik di atas setiap perilaku manusia. Mungkin pada zahirnya tindakan seseorang itu seperti “ada udang di sebalik batu”, tetapi hakikat niat asalnya hanya Allah SWT yang maha tahu. Tiada ruginya kita berbaik sangka kerana kita cuba meransang sikap positif dalam kehidupan kita. Harus diingat segala rancangan tidak baik seseorang terhadap kita hanya akan berlaku dengan izinNya..jadi serahkan bulat-bulat pergantungan hidup kita kepada Yang Maha Esa. InsyaAllah, ketenangan pasti terasa dan tiada lagi gundah-gulana..; )

Saturday, November 3, 2012

Salam Aidil Adha 1433H

Alhamdulillah...tahun ini adalah tahun terakhir kami sekeluarga menyambut Aidil Adha di bumi Brisbane. Masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan Salam Aidil Adha. 

Suami kesayangan teringin menikmati kuah kacang daging yang kebiasaannya akan dimasak oleh mama saya apabila menyambut Hari Raya. Alhamdulillah, memudahkan tugas saya dengan memberi idea menu apa yang mahu dihidangkan di pagi raya. Ada kisah di malam 9 Zulhijjah 1433H. Di saat saya memotong daging, saya terpandang akan sesuatu yang agak menarik. Setelah lama saya amati, saya terlihatkan urat-urat daging itu menunjukkan perkataan "ALLAH" di dalam tulisan jawi. Saya berasa amat teruja, dan untuk mengesahkan apa yang saya lihat itu betul jadi saya memanggil encik suami untuk sama-sama melihatnya.

"Abang, nampak tak apa yang sayang nampak?" 

Sambil menunjukkan cebisan daging itu kepadanya.

"Aa....aa..abang nampak."

Alhamdulillah, selama ini saya hanya melihat di dalam internet tentang tanda-tanda kebesaran Allah SWT..kali ini, saya berpeluang sendiri untuk menyaksikannya dengan mata ini. Terima kasih Allah..


close up

“Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya”. (Al-Jathiyah 45:3-4)

Sunday, October 28, 2012

Fruit tart

Maaf buat sahabat-sahabat yang telah meminta dan lama menunggu resepi tart ni. Minggu lepas agak sibuk menguruskan pelbagai acara. Catering untuk mamak nite dan juga jamuan raya Aidil Adha kecil-kecilan...; ) 

Encik suami mengidam sangat nak makan fruit tart ni. Walaupun tahap kerajinan ku adalah sifar, ku gagahkan juga "berperang" di dapur. Ini adalah percubaan kali pertamaku membuat fruit tart dan alhamdulillah..Allah SWT izinkan ia untuk jadi..syukur. Resepi ini saya dapat daripada seorang kenalan rapat, yang telah pergi menuntut dengan seorang sifu.. Hehehe.

Fruit Tart.

Kulit pastri
120 gm mentega sejuk
50 gm gula ising
1 biji telur
250 gm tepung gandum
1/2 camca teh esen vanilla 

Cara:
1. Mentega digaul bersama tepung, guna tangan sampai jadi macam breadcrumbs
2. Masukkan telur + gula ising + esen vanilla
3. Adun sampai menjadi doh
4. Rehatkan selama 10 minit
5. Tekan doh ke dalam loyang tart, dan bakar selama 15 minit, 150-180 darjah celcius

Setelah siap kulit pastri, bolehla buat kastardnya.

Kastard
580 ml susu segar
300 ml thickened cream
2 camca teh esen vanilla
110 gm gula kastor
75 gm tepung jagung
60 gm tepung kastard
2 biji kuning telur
30 gm mentega

Cara:
1. Campur susu dan cream
2. Panaskan atas api yang perlahan, jangan sampai mendidih
3. Masukkan gula + tepung _ telur + esen vanilla
4. Apabila pekat, masukkan mentega

Letakkan kastard ke dalam kulit pastri menggunakan piping bag atau sudu. Hiaskan dengan strawberry, kiwi dan anggur. Siap, selamat mencuba..=)

End product:



Monday, October 15, 2012

Redha sang suami

"Accepted!" 
Alhamdulillah..ku panjatkan rasa syukur di atas kurniaanMu ya Rabb.
Sekali lagi, paper yang dihantar diterima tanpa sebarang correction. Indah bukan. Senyum terukir di bibir. Sesekali gambaran panorama indah di Bali menerpa di benak fikiran. 

Ku belek dengan teliti isi kandungan aturcara program seminar yang telah dikirimkan melalui email. Tiba-tiba hatiku meruntun rasa sedih. Paperku di letakkan di bawah bidang renewable energy. Itu tidak menjadi masalah. Tapi isunya, aku harus membentangkan kerjaku pada 27 Oktober 2012, Jumaat, slot pukul 1.00 hingga 3.00 petang dan aku adalah pembentang yang kedua! Aku mula mencongak masa yang akan diberikan kepada setiap presenter. 15 minit. Nampak gayanya, pasti aku harus membuat pembentangan di sekitar jam 1.15 hingga 1.30 petang. Waduh, memang gawat sih! Aku membebel sendirian..Bukankah itu masanya untuk solat Jumaat. Pelbagai persoalan menghimpit diriku..mana yang harus diutamakan? Solat Jumaat atau presentasiku? Siapa yang mahu menjaga anak-anakku sekiranya suamiku pergi menunaikan solat Jumaat dan pada masa yang sama aku juga harus membuat pembentangan. Bingung dibuatnya..

Aku berbincang dengan suamiku. Jawapan yang aku perolehi seperti yang dijangka.

"Maaf sayang, abang tetap nak solat Jumaat dulu. Mana yang lebih penting? Redha Allah atau redha manusia?"

Aku terdiam, memang ada kebenarannya di situ. Dalam apa jua situasi kita harus letak Allah di tempat utama. 

"Jadi, apa yang harus sayang buat, abang?" 

Kami berfikir sejenak. 

"Sayang jumpa dengan organizer program ni, minta diaorang letakkan nama sayang sebagai pembentang terakhir. InsyaAllah, masa tu abang rasa solat Jumaat dah habis"

Aku bersetuju walaupun pada mulanya ada sedikit bantahan dariku. Kerja syaitan memang takkan berhenti sehinggalah matlamat jahat dia terlaksana....kan.

Aku turuti cadangan suamiku. Berjumpa dengan 3 orang committee members seminar. Aku menyuarakan hasrat kami. Hmmm..aku ingatkan mudah. Mereka seolah-olah nampak berat untuk mengizinkan namaku diletakkan senarai pembentang terakhir kerana ditakuti akan mengganggu kelancaran program. Tetapi aku tetap bertegas yang suami ku harus juga menunaikan solat Jumaat. Akhirnya aku membuat janji, sekiranya suamiku sempat siap sebelum jam 1.15, aku akan menjadi pembentang kedua. Aku mohon kepada mereka supaya memberitahu pengacara majlis untuk proceed ke pembentang seterusnya jika aku masih belum hadir ke dewan. Akhirnya mereka bersetuju. Alhamdulillah.

Cabaran ke dua yang kami tempuhi adalah mencari masjid. Seperti yang diketahui umum, penduduk Bali majoritinya beragama Hindu jadi amatlah kurang masjid terbina di situ. Seharian kami meninjau, tapi tidak berjumpa. Alternatif terakhir, suamiku pergi bertanya security guard yang berada di mall berdekatan dengan Ramada Bintang Bali Hotel, tempat seminarku berlangsung. Rupa-rupanya, masjid hanyalah 300 meter dari hotel itu. Kami tidak nampak kelibat masjid ketika meninjau kerana ia terletak di dalam kawasan perkampungan. Kereta memang confirm tak boleh masuk! Sedihkan..

Di hari pembentangan, kami hadir awal kerana jalan di bandar Bali sangat macet! Lebih teruk dari Kuala Lumpur jemnya. Kiri kanan penuh dengan kenderaan terutama sekali motor. Bayangkan jarak hotel kami dengan Ramada hotel hanya 18km tapi perjalanan ke sana memakan masa hampir 1 jam 30 minit! 

Jam 12.30 tengahari telah masuk waktu zuhur di Bali. Kami sekeluarga masih di dalam kereta. Aku masih sibuk dengan rehearsal untuk presentasi. Suaraku tenggelam timbul dek kerana suara dan aksi anak-anak yang sama naik denganku. Dugaan. Tiba-tiba rintikan hujan turun. Sangkaanku suamiku akan membatalkan niat untuk menunaikan solat Jumaat. Ternyata, meleset. Dia bersiap-siap dan terus membuka pintu kereta. Dengan pantas, aku bersuara..

"Abang, hujanlah. Kitakan tak de payung ni. Takkan abang nak jalan hujan-hujan ni abang..Sayang pernah baca kat web mana ntah. Kalau hujan, dimaafkan kalau tak tunaikan solat Jumaat" 

Eh, betul ke fatwa aku ni? Suka-suka je...

"Takpe sayang..hujan sikit je ni. InsyaAllah boleh"

Aku mula risau. Yelah, takut pula demam cik abang kesayanganku itu. Tapi, alhamdulillah..Allah permudahkan. Hujan yang nampak lebat, akhirnya berhenti. Seolah-olah mengerti akan keresahanku. Ya, Allah memang maha mengetahui. 

Tepat jam 1.15 petang, suami mengetuk cermin kereta.

"Abang dah siap. Cepatlah pergi"

Dengan hati yang berdebar-debar, aku berlari-lari anak ke dewan. Sesampainya di sana, pembentang pertama sedang menjawab soalan. Alhamdulillah, sempat lagi aku jadi pembentang kedua. Telahanku. Sekali lagi aku menjadi tidak keruan, soalan-soalan yang ditujukan kepada pembentang pertama bertubi-tubi. Aku kecut perut. Aku bersiap-siap menunggu namaku dipanggil. Tetapi pengacara majlis terus menyebut nama pembentang ketiga. Secara perlahan, aku pergi betemu dengannya dan mengatakan bahawa aku sudah siap untuk membuat pembentangan. Ahh..ada 15 minit lagi. Rasanya masih sempat untuk aku menunaikan solat zuhur. Terngiang-ngiang kata-kata suamiku.."Cari redha Allah, bukan redha manusia"

Amin. Selesai solat dan berdoa. Aku masuk semula ke dewan. Pembentang kedua sedang diasak dengan pelbagai persoalan. Aku beristighfar, berzikir. Memohon semoga Allah permudahkan segala urusanku. Namaku dipanggil dan secara tenang aku berbicara. 

"With that I thank you. Any questions?"

Aku tergamam. Dewan sunyi-sepi. Tiba-tiba seorang panel mengangkat tangan dan bertanya. Alhamdulillah, soalannya sangat basic dan dengan mudah aku menjawab. Pengacara majlis bertanya semula..

"Is there any questions?"

Sekali lagi..sepi. Panel-panel yang aku lihat sebelum ini bagaikan das tembakan melontarkan soalan..nampak senyap, dan hanya tersenyum. Syukur ya Allah. Kau permudahkan urusanku. Benarlah kata-kata, untuk sang isteri...redha Allah terletak kepada redha suami terhadap diri kita. Setinggi mana, sehebat mana, secantik mana, secerdik mana, sealim mana, selantang mana kita mengeluarkan hujah, keberkatan hidup kita tetap terletak sejauh mana sang suami meredhai kita. Semoga bermanfaat.

Monday, August 13, 2012

Pilihan di tangan kita

Suami saya agak pendiam orangnya, berbeza dengan karakter saya yang suka berbicara.
Alhamdulillah, Allah SWT beri kita pasangan adalah untuk saling melengkapi. Disebabkan saya banyak berceloteh, jadi saya dikurniakan seorang suami yang suka mendengar. Bahagia! ;)

Hari ini, usai bersahur kami berbual. 

Satu cara untuk saya dapat mendengar suara emas suami saya itu adalah dengan membangkitkan topik perbualan yang dapat menarik perhatian si dia untuk berbicara. 

Saya tertarik dengan status seorang sahabat saya di facebook. Ayatnya ringkas, tapi membawa mesej yang baik.

~Walaupun "Wellward" barangnya murah2, saya tetap pilih "Selesa"~

Buat yang tinggal di Parit Raja, Batu Pahat tentu sudah sinonim dengan Wellward dan Selesa. Bagi yang tidak tahu, ia adalah sebuah pasaraya. Berbezanya adalah, satu pemiliknya bukan Islam dan satu lagi adalah milik orang Islam.

Saya amat bersetuju dengan pilihan sahabat saya itu. Dan itulah perkara yang sentiasa suami saya tekankan. Suami saya adalah seorang yang sangat kuat usahanya untuk membeli barangan di kedai muslim terutama sekali produk keluaran orang Islam itu sendiri. Kadang-kadang saya perhatikan walaupun kedai itu agak jauh, tetapi oleh kerana pemiliknya orang Islam dia sanggup ke sana. Jihad.

Saya tertarik dengan sikap dan kesungguhannya. Saya cuba mendapatkan pandangannya berkenaan isu ini. Bila topik yang diutarakan sealiran dengan minatnya, bersemangat dia melontarkan hujah-hujahnya. Nampaknya, pancing saya mengena juga kali ini..Hihihi.

"Kita ambil contoh roti. Si A (bukan Islam) buat roti lembut, gebu, sedap dan murah. Si B (muslim) buat roti keras skit dan agak mahal sikit. Bagi abang, pilihan tetap pada si B. Sebab apa? Sebab, walaupun rotinya keras si B adalah orang Islam. InsyaAllah, dia solat, berpuasa, bersedekah dan bayar zakat. Keberkatan Allah SWT ada di situ. Tanggungjawab untuk menyediakan roti menggunakan barang-barang yang halal dan bersih telah diletakkan pada si B. Samada si B menjalankan kewajipannya sebagai seorang peniaga yang baik atau tidak itu adalah urusan dia dengan Allah SWT. Yang penting, kita sudah memilih yang betul."

Kadang-kadang sedih saya tengok. Di pasaraya terutama sekali orang cha ya nun alif..ramai sungguh orang kita membeli-belah di situ. Cuba anda perhatikan, ada tak orang cha ya nun alif ni nak berbelanja di kedai orang kita? Hmmm..jauh panggang dari api. Kalau adapun, jika harga di kedai orang melayu tu sangatlah murah.

Kenapa harga barangan di kedai orang melayu agak mahal? 

Sebabnya, main supplier barangan sekarang ini dimonopoli oleh orang cha ya nun alif. Perniagaan banyak dikuasai oleh mereka. Ekonomi orang melayu semakin hari semakin meresahkan kita. Menjadi tanggungjawab kita untuk cuba bantu meningkatkan taraf ekonomi orang kita. Kalau bukan kita, siapa lagi. 

Nampak isu ini kecil dan remeh, tapi sebenarnya memberi impak yang besar. Fikir-fikirkanlah!

Wednesday, August 8, 2012

Halwa telinga dan jiwa


"Allah engkau dekat, penuh kasih-sayang.."

Manusia punya kegemaran masing-masing. 
Saya, sejak dibangku sekolah lagi memang sangat suka mendengar alunan melodi. Indah, sangat indah. Tidak salah berhibur, tetapi pilihlah yang bersesuaian dengan fitrah kita sebagai khalifah Allah SWT.

Opick. 

Satu nama baru dalam senarai artis-artis kegemaran saya. Perkenalan dengannya berlaku apabila saya dapati kebanyakkan filem indonesia yang berunsur islamik memainkan lagu-lagunya. Bagi saya, melodi dan bait-bait kata liriknya sungguh indah. Tersangat indah.

Dengan mendengar lagu dari opick, saya seakan-akan menyelami hati dan perasaan seorang manusia yang dahagakan kasih-sayang dari Allah SWT. Terasa diri ini hina, penuh dosa dan mencari Dia untuk disandarkan segala hal. Samada suka atau duka. Lagu-lagunya sentiasa meniti dibibir saya. Hampir setiap perkara seperti memasak, membasuh pinggan, menulis tesis...dipenuhi dengan lagu-lagunya. 

Seakan sahabat.


Saya suka. 

Mengapa? 

Kerana bagi saya, selain solat, zikrullah dan membaca Al-Quran, inilah juga salah satu kaedah untuk saya sentiasa merasakan keberadaan si Pencipta di sisi. Terasa Dia hidup dan sentiasa menemani saya, serta tidak putus mengingatiNya. Terapi jiwa dan minda.

Kadang-kala tanpa saya sedari, air mata deras mengalir. Dan kadang-kala ia mengalir tanpa saya tahu mengapa. Mungkin, kerana rindukan si Dia yang maha segala-galanya. 

Ya Allah! Aku lemah tanpaMu. 
Aku hanya harapkan agar Kau ampunkanlah dosa-dosaku, tetapkanlah keimananku serta kasihani dan sayangilah daku. Itu sahaja. 

~Cukuplah Engkau bagiku.~

Thursday, August 2, 2012

Ramadhan yang penuh barakah

Alhamdulillah. 
Segala puji bagi Allah SWT. Hanya Dia yang layak menerima segala pujian.

Allah SWT merancang, saya juga merancang. 
Tetapi, perancangan Allah SWT adalah yang sebaik-baik rancangan.
Jika kita selami tentang kehidupan ini, satu jawapan yang pasti kita jumpa di akhirnya.

Kita adalah makhluk Allah SWT yang sangat lemah. Kekuatan, kebijaksanaan, kehebatan kita yang mana dipandang sesama makhluk adalah sebenarnya milik si Pencipta kita. Kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa. Hatta, diri kita sendiri adalah kepunyaanNya.


Semua berlaku sekelip mata. Beberapa minggu lepas, saya merancang tarikh thesis review saya. Ini adalah milestone terakhir yang harus saya lalui sebagai seorang pelajar. Perancangan begitu teliti dan bagi saya tarikh pilihan saya itu kelihatan cukup pasti.


Tapi, Allah SWT mengajar saya. Jangan terlalu yakin dengan segala perancangan kita. Betul, kita harus merancang tetapi sediakan sedikit ruang kepada perancangan Allah SWT. Adab merancang, buatlah apa-apa rancangan tetapi akhirnya bertawakkal. Serahkan segalanya kepada Allah SWT. Dia tahu yang terbaik buat kita. 


Dengan hanya satu kiriman email kepada penyelia, perancangan saya berubah. Penyelia minta saya berjumpa dengan nya. Tanpa ayat bunga-bunga, terus dia kepada matlamat perjumpaan. 


"We complete your thesis review today"


@__@ 


Perancangan saya pada awalnya untuk buat 2 minggu lagi telah bertukar 2 minggu lebih awal. Allah SWT maha berkuasa. Kita yang sebenarnya kena ikut Dia, dan bukannya Dia yang ikut kita. Tersedar.


Alhamdulillah, Allah SWT itu memang penuh dengan kemurahan dan sifat kasihNya. Setelah mesyuarat selesai, dengan izinNya saya telah lulus dan mendapat komen yang sangat positif dari reviewer committee. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan, tetapi bukan di post ini. InsyaAllah, nanti.


Allahuakbar, Allah maha besar. Perjalanan hidupku ini hanya mendambakan limpahan kasih-sayangMu. Semoga rahmatMu sentiasa menjadi payung untuk aku berlindung. Dan kepadaMu jualah ku serahkan segala urusanku.
 

Sunday, July 29, 2012

MySecretRecipe: Nasi Kerabu Brisbane

Memang sudah lama teringin mahu menikmati nasi kerabu bersama ayam percik kelantan yang warna putih. Tapi apakan daya, tahap kerajinan masih belum datang. Akhirnya semalam, saya gagahkan juga diri memasak nasi kerabu. Mencabar juga memasak ketika berpuasa kerana kita tak tahu rasa sebenar makanan yang kita masak. Tawakkal sajala..>_<

Alhamdulillah, setelah berhempas pulas di dapur, siap juga nasi kerabu. Jangan tak percaya, budu pun ada ye dalam nasi kerabu ni. Saya bawa 4 botol budu asli dari kelantan, sedap. Ini adalah botol terakhir yang saya gunakan, itupun sudah tinggal suku! Beginilah hasilnya nasi kerabu Brisbane. Memang tak lengkap sebab tiada solok lada dan telur masin. Tapi, lepas jugalah keinginan nak menikmati nasi kerabu..=)



Resepi ini asalnya datang dari bonda tercinta saya. Cuma resepi ayam percik saya ambil dari chef hanieliza

Serunding ikan
3 ekor ikan kembung (ikan lain pun boleh) - dipanggang dan diambil isinya
1/4 kelapa parut (buang kulit arinya) atau 2 cawan desicated coconut
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 sm halia (diketuk)
2 batang serai (diketuk)
1 sudu teh lada hitam
1 sudu teh gula
1 sudu teh garam

1. Masukkan sedikit bawang merah yang dimayang, serai ke dalam kelapa dan digoreng 
    tanpa minyak sehingga kuning
2. Isi ikan bakar, bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam, garam dan gula.      
    Kesemuanya ditumbuk halus, kemudian digaulkan dengan kelapa goreng (1). Kemudian
    rasalah sesuai dengan selera anda.

Kuah sambal
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 dimesin)
4 ulas bawang putih
20 gm belacan
10 tangkai cili kering (direndam air panas dan dimesinkan)
2 sm halia
2 cawan santan cair
1 batang serai (diketuk)
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu besar budu
1 asam keping

1. Mesinkan bawang merah, bawang putih, belacan, cili kering dan halia.
2. Campurkan santan, bahan mesin, bawang merah dimayang, serai, budu, asam keping, 
    garam dan gula. Masaklah dengan api perlahan sampai naik minyak dan pekat.

Ayam Percik Kelantan (Saya modified sikit resepi chef hanieliza)
1 ekor ayam (belah 4)
2 cawan santan (1 biji kelapa)
1 batang serai (diketuk)
3 keping asam keping
garam

Bahan Mesin
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 cm halia
2 cm lengkuas
3 batang serai  

1. Bersihkan ayam.
2. Masukkkan ayam dan semua bahan dalam kuali dan biarkan mendidih.
3. Keluarkan ayam dan masukkan dalam loyang.
4. Bakar dalam oven pada suhu 200'C selama 20 minit (gunakan api atas).
5. Masakkan kuah yg lebihan sehinga agak pekat.
6. Bila ayam telah garing boleh hidangkan dengan kuahnya.

Bahan untuk ulam
1/2 biji timun
1/4 biji kubis bulat
1 ikat daun kesum
2 batang serai 
2 kuntum bunga kantan
5 batang kacang panjang

Kesemua sayuran dipotong halus.

Nasi kerabu dihidangkan bersama keropok ikan, solok lada dan telur masin.