-->

Sunday, July 29, 2012

MySecretRecipe: Nasi Kerabu Brisbane

Memang sudah lama teringin mahu menikmati nasi kerabu bersama ayam percik kelantan yang warna putih. Tapi apakan daya, tahap kerajinan masih belum datang. Akhirnya semalam, saya gagahkan juga diri memasak nasi kerabu. Mencabar juga memasak ketika berpuasa kerana kita tak tahu rasa sebenar makanan yang kita masak. Tawakkal sajala..>_<

Alhamdulillah, setelah berhempas pulas di dapur, siap juga nasi kerabu. Jangan tak percaya, budu pun ada ye dalam nasi kerabu ni. Saya bawa 4 botol budu asli dari kelantan, sedap. Ini adalah botol terakhir yang saya gunakan, itupun sudah tinggal suku! Beginilah hasilnya nasi kerabu Brisbane. Memang tak lengkap sebab tiada solok lada dan telur masin. Tapi, lepas jugalah keinginan nak menikmati nasi kerabu..=)



Resepi ini asalnya datang dari bonda tercinta saya. Cuma resepi ayam percik saya ambil dari chef hanieliza

Serunding ikan
3 ekor ikan kembung (ikan lain pun boleh) - dipanggang dan diambil isinya
1/4 kelapa parut (buang kulit arinya) atau 2 cawan desicated coconut
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 sm halia (diketuk)
2 batang serai (diketuk)
1 sudu teh lada hitam
1 sudu teh gula
1 sudu teh garam

1. Masukkan sedikit bawang merah yang dimayang, serai ke dalam kelapa dan digoreng 
    tanpa minyak sehingga kuning
2. Isi ikan bakar, bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam, garam dan gula.      
    Kesemuanya ditumbuk halus, kemudian digaulkan dengan kelapa goreng (1). Kemudian
    rasalah sesuai dengan selera anda.

Kuah sambal
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 dimesin)
4 ulas bawang putih
20 gm belacan
10 tangkai cili kering (direndam air panas dan dimesinkan)
2 sm halia
2 cawan santan cair
1 batang serai (diketuk)
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu besar budu
1 asam keping

1. Mesinkan bawang merah, bawang putih, belacan, cili kering dan halia.
2. Campurkan santan, bahan mesin, bawang merah dimayang, serai, budu, asam keping, 
    garam dan gula. Masaklah dengan api perlahan sampai naik minyak dan pekat.

Ayam Percik Kelantan (Saya modified sikit resepi chef hanieliza)
1 ekor ayam (belah 4)
2 cawan santan (1 biji kelapa)
1 batang serai (diketuk)
3 keping asam keping
garam

Bahan Mesin
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 cm halia
2 cm lengkuas
3 batang serai  

1. Bersihkan ayam.
2. Masukkkan ayam dan semua bahan dalam kuali dan biarkan mendidih.
3. Keluarkan ayam dan masukkan dalam loyang.
4. Bakar dalam oven pada suhu 200'C selama 20 minit (gunakan api atas).
5. Masakkan kuah yg lebihan sehinga agak pekat.
6. Bila ayam telah garing boleh hidangkan dengan kuahnya.

Bahan untuk ulam
1/2 biji timun
1/4 biji kubis bulat
1 ikat daun kesum
2 batang serai 
2 kuntum bunga kantan
5 batang kacang panjang

Kesemua sayuran dipotong halus.

Nasi kerabu dihidangkan bersama keropok ikan, solok lada dan telur masin.

No comments:

Post a Comment