-->

Sunday, July 29, 2012

MySecretRecipe: Nasi Kerabu Brisbane

Memang sudah lama teringin mahu menikmati nasi kerabu bersama ayam percik kelantan yang warna putih. Tapi apakan daya, tahap kerajinan masih belum datang. Akhirnya semalam, saya gagahkan juga diri memasak nasi kerabu. Mencabar juga memasak ketika berpuasa kerana kita tak tahu rasa sebenar makanan yang kita masak. Tawakkal sajala..>_<

Alhamdulillah, setelah berhempas pulas di dapur, siap juga nasi kerabu. Jangan tak percaya, budu pun ada ye dalam nasi kerabu ni. Saya bawa 4 botol budu asli dari kelantan, sedap. Ini adalah botol terakhir yang saya gunakan, itupun sudah tinggal suku! Beginilah hasilnya nasi kerabu Brisbane. Memang tak lengkap sebab tiada solok lada dan telur masin. Tapi, lepas jugalah keinginan nak menikmati nasi kerabu..=)



Resepi ini asalnya datang dari bonda tercinta saya. Cuma resepi ayam percik saya ambil dari chef hanieliza

Serunding ikan
3 ekor ikan kembung (ikan lain pun boleh) - dipanggang dan diambil isinya
1/4 kelapa parut (buang kulit arinya) atau 2 cawan desicated coconut
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 sm halia (diketuk)
2 batang serai (diketuk)
1 sudu teh lada hitam
1 sudu teh gula
1 sudu teh garam

1. Masukkan sedikit bawang merah yang dimayang, serai ke dalam kelapa dan digoreng 
    tanpa minyak sehingga kuning
2. Isi ikan bakar, bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam, garam dan gula.      
    Kesemuanya ditumbuk halus, kemudian digaulkan dengan kelapa goreng (1). Kemudian
    rasalah sesuai dengan selera anda.

Kuah sambal
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 dimesin)
4 ulas bawang putih
20 gm belacan
10 tangkai cili kering (direndam air panas dan dimesinkan)
2 sm halia
2 cawan santan cair
1 batang serai (diketuk)
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu besar budu
1 asam keping

1. Mesinkan bawang merah, bawang putih, belacan, cili kering dan halia.
2. Campurkan santan, bahan mesin, bawang merah dimayang, serai, budu, asam keping, 
    garam dan gula. Masaklah dengan api perlahan sampai naik minyak dan pekat.

Ayam Percik Kelantan (Saya modified sikit resepi chef hanieliza)
1 ekor ayam (belah 4)
2 cawan santan (1 biji kelapa)
1 batang serai (diketuk)
3 keping asam keping
garam

Bahan Mesin
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 cm halia
2 cm lengkuas
3 batang serai  

1. Bersihkan ayam.
2. Masukkkan ayam dan semua bahan dalam kuali dan biarkan mendidih.
3. Keluarkan ayam dan masukkan dalam loyang.
4. Bakar dalam oven pada suhu 200'C selama 20 minit (gunakan api atas).
5. Masakkan kuah yg lebihan sehinga agak pekat.
6. Bila ayam telah garing boleh hidangkan dengan kuahnya.

Bahan untuk ulam
1/2 biji timun
1/4 biji kubis bulat
1 ikat daun kesum
2 batang serai 
2 kuntum bunga kantan
5 batang kacang panjang

Kesemua sayuran dipotong halus.

Nasi kerabu dihidangkan bersama keropok ikan, solok lada dan telur masin.

Saturday, July 28, 2012

Allah vs Dunia

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang Prof di telinga saya.

"Kamu kena balik cepat, nanti gaji makin naik. Bolehla beli handbag coach, kasut mahal-mahal, bercuti di London. Ada seorang Prof A tu dah boleh beli rumah campur dengan renovation nak 1 juta!"

Istighfar. Saya tersenyum kelat. Hati bercampur sedih.

Kenapa ya? Kenapa dunia yang kita jadikan matlamat? Terus-terang, saya betul-betul tidak setuju dengan pandangan sebegitu. Hanya bergurau? Ooo..tidak, saya secara total tidak boleh terima. Untuk membakar semangat? Bagi saya, bukan itu cara yang baik.

Apa jua tujuan kita, kita tidak boleh menerapkan material atau kesenangan hidup di dunia sebagai matlamat utama. Saya faham, prof tersebut berniat untuk membakar semangat staf yang sedang cuti belajar untuk pulang cepat berkhidmat di universiti tapi kita harus sedar matlamat utama kita adalah Allah SWT. Secara tidak langsung, kita sebenarnya mengajar sahabat-sahabat kita untuk lebih cintakan dunia dari akhirat yang menjadi destinasi kekal abadi.

Nak staf balik awal? Cuba cara ini.

"Paling penting sekali, anda kena betulkan niat. Koreksi niat anda. Belajar untuk mendapat redha Allah atau pangkat? Letakkan Allah sebagai matlamat insyaAllah dunia akan kejar anda."

Saya percaya dan yakin sekiranya kita lakukan sesuatu itu termasuklah menuntut ilmu jika di dahului dengan niat semata-mata kerana mencari redha Allah SWT, insyaAllah Allah SWT akan mempermudahkan segala urusan kita tanpa kita sangka. Jangan kita didik hati manusia dengan harta benda, kelak hati akan lalai dan terus cintakan dunia. Maka, makin terhijablah diri kita dengan Allah SWT. Wallahua'lam.

Thursday, July 26, 2012

Allah itu sangat dekat

Allah SWT adalah pencipta kita..Dia maha agung. 
Pencipta yang maha melihat, maha mendengar, maha mengetahui...
Dan Dia sangat dekat dengan kita.

Diri manusia penuh dengan rahsia. 
Rahsia Allah SWT yang terhijab dari diri kita yang penuh dosa dan rasa kecintaan kepada dunia. Muhasabah diri. Hati kita sentiasa berbolak-balik. Adakalanya rasa rindu dan cinta kepada Sang Pencipta hadir meluap-luap, dan adakalanya apabila rasa cinta kepada dunia datang, kita seakan lupa pada Dia yang hakikatnya sangat dekat dengan kita.

Menangis itu perlu. 
Kadang-kala, "rasa" itu hadir tanpa kita sangka. Satu perasaan yang sangat ikhlas dan suci, bukan dibuat-buat. Rasa rindu. Rindu yang amat kepada si Dia. 

Rindu? 

Satu perasaan yang diajar olehNya kepada kita. Rindu terjadi apabila kita telah mengenali, berjumpa atau berhubungan dengan seseorang. Jika "rasa" rindu pada si Dia itu hadir, terfikir...adakah kita pernah bertemu dengan Sang Pencipta kita sebelum ini??? 

Ya! Itu sudah pasti. Pertemuan sebelum kita masuk ke alam rahim. Pertemuan indah yang telah kita lupa kerana dunia telah mengaburi kita. Mata zahir, juga mata batin.

Oh Allah! Alangkah indahnya hidup ini jika Kau dapat singkapkan hijab antara aku denganMu. Agar mata zahir dan mata batin ku hanya dapat melihat dan merasakan keberadaanMu di setiap detik waktu.

Nikmatnya hidup ini jika kita dapat rasa keberadaan Allah SWT di mana-mana. Di depan, di belakang, di kiri, di kanan, di luar, di dalam. Rasa bertuhan yang sangat kuat. Dan kita akan dapati dunia yang fana ini amatlah kecil sehingga ke suatu tahap ianya tidaklah sangat memberi erti jika dibandingkan dengan alam akhirat yang kekal abadi.

"Dan Kami lebih dekat dengannya daripada urat lehernya sendiri." [Qaf, 50:16]

Wednesday, July 25, 2012

MySecretRecipe: Nasi Ayam

Buat sahabat ku yang tersayang, Intan.. mohon maaf atas keterlewatan berkongsi resepi. Semalam suami tersayang mengidam mahu makan rojak asma. Walaupun tak pernah membuat rojak, saya gagahkan juga la. Sepetang berperang di dapur sehingga terlupa akan janji kepada seorang sahabat. Sorry my dear..

Ok, untuk tidak menghampakannya, saya berkongsi resepi nasi ayam saya. Resepi yang saya reka sendiri..>__<. Bahan-bahan diagak-agak untuk 4 orang makan ye.



Saya akan mulakan dengan membuat sup ayam. Bahan-bahan:

2 biji bawang besar
3 biji bawang putih
1/2 inci halia
Ayam
Garam

1. Bawang besar, putih dan halia dihiris halus. 
2. Panaskan minyak, tumis bahan hirisan sampai kekuningan.
3. Tambahkan air (banyak pun takpe sebab nak guna untuk masak nasi dan sos).
4. Masukkan ayam dan garam, rebus sebentar sahaja, agak-agak ayam dah separuh masak.

Perapan ayam.
1. 3 biji bawang putih ditumbuk bersama 1/2 inci halia.
2. Campurkan kicap manis, sedikit madu dan sedikit minyak bijan.
3. Perapkan daging ayam yang direbus separuh masak tadi lebih kurang 3-4 jam.
4. Ayam kemudiannya dibakar.
  
Nasi. 
Sup ayam (ikut sukatan air beras masing-masing ye) digaul dengan beras. Masukkan 1 batang kayu manis (bersaiz sederhana besar), 1 biji bunga lawang, 2 biji buah pelaga, hirisan halia, daun pandan, sedikit garam dan minyak. Tanak beras sehingga masak.


Sos cili.
4 biji cili dibuang biji
3 biji bawang putih
1 biji buah tomato 
Sedikit sup ayam
Sedikit sos cili

1. Blender semua bahan di atas. 
2. Panaskan minyak, tumis bahan tersebut.
3. Perasakan dengan garam dan gula


Kicap cair.


2 biji bawang putih diketuk dan dihiris halus dan ditumis sampai kekuningan. Masukkan kicap manis dan sedikit sup.


Nasi ayam boleh dihidangkan bersama daun salad, hirisan timun dan tomato.

SecretRecipe: Kek Gula Hangus ~Kak Zamzarina~

Ada kisah di sebaliknya..Seorang sahabat menghantar kek gula hangus kepada saya sekeluarga. Keknya gebu dan sedap! Saya perasan suami saya sangat sukakannya. Jadi saya merisik resepi dari sahabat saya. Pertama kali buat, saya dapati stok bikarbonat soda di rumah telah kehabisan. Suami memberi idea, "Ala yang, guna jelah baking powder tu". Okla, saya bersetuju. Gagal. Rasa kek, sedap tapi lubang-lubang tak menjadi. Inilah akibat melawan kata guru..;p

Cuba lagi untuk kali kedua. Kali ini, semua diikuti. Alhamdulillah, menjadi. Sedap, gebu, berlubang. 


Resepinya:

Bahan gula hangus :
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas

Cara membuatnya :
1 cawan gula pasir dijadikan gula hangus dengan api kecil. Bila gula cair sepenuhnya barulah masukkan 1 cawan air panas kedalam gula hangus tadi bermula dari tepi periuk. Hati-hati dengan gula yang panas sewaktu masukkan air kerana gula akan meletup-letup dan terpercik.

Bahan Kek :
1/2 cawan susu pekat manis
1 cawan tepung gandum
4 biji telur
3 sudu besar butter
1 1/2 sudu kecil soda bikarbonat

Cara membuatnya :
1. Alas loyang atau acuan dengan kertas minyak dan glis dengan butter - ketepikan.
2. Pukul butter dengan telur hingga sebati. Tak perlu pukul hingga kembang, cukup dipukul hingga adunan sebati saja.
3. Masukkan susu pekat manis dan masukkan juga gula hangus tadi. kacau hingga sebati.
4. Akhir sekali masukkan tepung gandum dan soda bikarbonat yang telah diayak bersama. Dan kacau lagi hingga adunan rata. Perapkan selama 1jam.
5. Tuang dalam loyang dan bakar pada suhu 170'C selama lebih kurang 45 minit hingga 1 jam atau boleh uji kek dengan mencucuk lidi sate, bila ditarik keluar lidinya bersih tandanya kek sudah masak.
 

Marhaban ya Ramadhan

Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah SWT di atas peluang yang diberikan untuk menikmati lagi keindahan bulan mulia, Ramadhan. 

Terus-terang, setelah hampir mencecah angka 30 baru saya merasai nikmat berpuasa. Sedih rasanya, sebab selama ini saya rasa puasa itu setakat menahan lapar dan dahaga. Pergi ke bazaar Ramadhan, hati dah tak keruan. Apa tidaknya, terhidang segala jenis makanan. Menu yang jarang jual di restoran pun semua ada. Beli itu ini sampai tak sedar, penuh tangan membimbit beg plastik!


Tapi...saya bersyukur. Allah SWT kurniakan saya ayah, mama dan suami yang sentiasa membimbing saya kearah kebaikan. Ingin saya kongsikan kata-kata bonda tercinta saya yang bagi saya sangat bermanfaat dan terkesan di hati..

"Puasa merupakan amalan rahsia antara hamba dan Rabbnya. Tiada siapa yang tahu puasanya melainkan dirinya dan Allah swt. Tuhan telah menganugerahkan manusia dengan fitrah dasar melalui rohani yg suci sehingga Islam mewajibkan berpuasa supaya kita dapat mengendalikan hawa nafsu untuk menuju kepada Nya.

Ketertipuan kita dengan jasad dan nafs menyebabkan kita lupa kepada Roh yang ada pada diri ini. Seandainya tidak dipaksa oleh Allah untuk berpuasa di bulan ramadhan maka kita tidak akan mampu sedar siapa hakikat diri kita yang sebenarnya. Berutunglah kita disedarkan dengan puasa ini dan dengan rahmat Allah yang turun di bulan ini.

Berpuasa itu adalah kemampuan kita untuk meninggalkan kecintaan dan kenikmatan An-Nafs (Jiwa dan jasad fizikal) demi mengutamakan kecintaan kepada Allah SWT dan keredhaanNya.

Apabila kita berjaya menahan diri seluruhnya dengan rela, redha dan pasrah maka kita dapatlah berpuasa dengan hakikat yg sebenarnya dan akhirnya kita akan dapat menyambut kemenangan di mana kita kembali kepada fitrah iaitu dekat dgn Allah swt dengan membantu mereka yg kurang bernasib baik dgn zakat fitrah. Hari kemenangan inilah yg kita sebut Hari Raya Aidilfitri- Hari kemenangan kerana kita berpuasa mengikut Roh kita (Suci, ikhlas) bukannya mengikut An-Nafs kita (jasad-nafsu). "

InsyaAllah, selagi nyawa masih dikandung badan, kita tidak terlambat. Bertafakkur sebentar, kenanglah segala apa yang telah kita lakukan selama ini. Soallah diri, samada kita berpuasa setakat menahan lapar dan dahaga, atau berpuasa untuk melatih an-nafs kita mengikut kehendak dan keperluan roh. 

Semoga Ramadhan kali ini memberi seribu erti dan sama-sama kita berusaha agar An-Nafs kita seiringan dengan Ar-Ruh untuk kembali kepada Allah SWT.

Tuesday, July 24, 2012

An-Nafs

Saya tidak arif dan masih jahil tentang agama. Masih mencari dan terus mencari cinta hakiki. Sedikit yang saya tahu. An-Nafs adalah gabungan Qalb (jiwa) dan juga jasad. Tidak mahu menghuraikan lagi, insyaAllah nanti.

Itu adalah intipati utama blog saya. InsyaAllah, saya cuba memenuhi kehendak jiwa dan jasad. Makanan rohani untuk jiwa, makanan jasmani pula untuk jasad. 

Saya sukakan ilmu-ilmu yang mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT dan dalam masa yang sama, saya juga sukakan hidangan yang menyelerakan. Adalah menjadi satu kepuasan kepada saya jika suami dan anak-anak mengucapkan kata-kata terima kasih kerana menyediakan hidangan yang menyelerakan buat mereka. Itu adalah saya. Disebabkan itu juga, insyaAllah saya akan berkongsi sedikit sebanyak resepi-resepi kegemaran keluarga saya. Buat rujukan saya ketika terlupa, dan mungkin juga buat anda. >_<

Mengapa?

Mengapa memulakannya semula?
Sudah lama saya memikirkannya, tetapi kerana komitmen sebagai isteri, ummi dan pelajar menangguhkan adalah satu langkah terbaik. Bagi saya, pada mulanya.

Alhamdulillah, Allah SWT memberi peluang dan ruang untuk saya menulis kembali. Saya merasakan mungkin perlu saya menulis walaupun pada hakikatnya saya tidak pandai menulis, tetapi suka berkata-kata..; ) 

Dakwah. Samada kita berdakwah atau tidak, tiada memberi kesan kepada Allah SWT. Yang pasti, dakwah yang kita lakukan, faedahnya akan kembali kepada diri kita sendiri. Dan itu juga salah satu matlamat saya.

InsyaAllah, apa yang baik dari nukilan saya bolehlah dimanfaatkan. Jika tidak, mohon diberi nasihat agar kita dapat saling ingat-mengingati.

Assalammualaikum...: )

Salam pembuka bicara..Assalammualaikum..

Kembali semula ke dunia ber"blogging" setelah lama menyepi. Hambatan tugasan membuatnya terhenti. Dengan wajah dan nafas baru, saya mulakan dengan kalimah agung.."Bismillahirahmannirahim"