-->

Monday, August 13, 2012

Pilihan di tangan kita

Suami saya agak pendiam orangnya, berbeza dengan karakter saya yang suka berbicara.
Alhamdulillah, Allah SWT beri kita pasangan adalah untuk saling melengkapi. Disebabkan saya banyak berceloteh, jadi saya dikurniakan seorang suami yang suka mendengar. Bahagia! ;)

Hari ini, usai bersahur kami berbual. 

Satu cara untuk saya dapat mendengar suara emas suami saya itu adalah dengan membangkitkan topik perbualan yang dapat menarik perhatian si dia untuk berbicara. 

Saya tertarik dengan status seorang sahabat saya di facebook. Ayatnya ringkas, tapi membawa mesej yang baik.

~Walaupun "Wellward" barangnya murah2, saya tetap pilih "Selesa"~

Buat yang tinggal di Parit Raja, Batu Pahat tentu sudah sinonim dengan Wellward dan Selesa. Bagi yang tidak tahu, ia adalah sebuah pasaraya. Berbezanya adalah, satu pemiliknya bukan Islam dan satu lagi adalah milik orang Islam.

Saya amat bersetuju dengan pilihan sahabat saya itu. Dan itulah perkara yang sentiasa suami saya tekankan. Suami saya adalah seorang yang sangat kuat usahanya untuk membeli barangan di kedai muslim terutama sekali produk keluaran orang Islam itu sendiri. Kadang-kadang saya perhatikan walaupun kedai itu agak jauh, tetapi oleh kerana pemiliknya orang Islam dia sanggup ke sana. Jihad.

Saya tertarik dengan sikap dan kesungguhannya. Saya cuba mendapatkan pandangannya berkenaan isu ini. Bila topik yang diutarakan sealiran dengan minatnya, bersemangat dia melontarkan hujah-hujahnya. Nampaknya, pancing saya mengena juga kali ini..Hihihi.

"Kita ambil contoh roti. Si A (bukan Islam) buat roti lembut, gebu, sedap dan murah. Si B (muslim) buat roti keras skit dan agak mahal sikit. Bagi abang, pilihan tetap pada si B. Sebab apa? Sebab, walaupun rotinya keras si B adalah orang Islam. InsyaAllah, dia solat, berpuasa, bersedekah dan bayar zakat. Keberkatan Allah SWT ada di situ. Tanggungjawab untuk menyediakan roti menggunakan barang-barang yang halal dan bersih telah diletakkan pada si B. Samada si B menjalankan kewajipannya sebagai seorang peniaga yang baik atau tidak itu adalah urusan dia dengan Allah SWT. Yang penting, kita sudah memilih yang betul."

Kadang-kadang sedih saya tengok. Di pasaraya terutama sekali orang cha ya nun alif..ramai sungguh orang kita membeli-belah di situ. Cuba anda perhatikan, ada tak orang cha ya nun alif ni nak berbelanja di kedai orang kita? Hmmm..jauh panggang dari api. Kalau adapun, jika harga di kedai orang melayu tu sangatlah murah.

Kenapa harga barangan di kedai orang melayu agak mahal? 

Sebabnya, main supplier barangan sekarang ini dimonopoli oleh orang cha ya nun alif. Perniagaan banyak dikuasai oleh mereka. Ekonomi orang melayu semakin hari semakin meresahkan kita. Menjadi tanggungjawab kita untuk cuba bantu meningkatkan taraf ekonomi orang kita. Kalau bukan kita, siapa lagi. 

Nampak isu ini kecil dan remeh, tapi sebenarnya memberi impak yang besar. Fikir-fikirkanlah!

Wednesday, August 8, 2012

Halwa telinga dan jiwa


"Allah engkau dekat, penuh kasih-sayang.."

Manusia punya kegemaran masing-masing. 
Saya, sejak dibangku sekolah lagi memang sangat suka mendengar alunan melodi. Indah, sangat indah. Tidak salah berhibur, tetapi pilihlah yang bersesuaian dengan fitrah kita sebagai khalifah Allah SWT.

Opick. 

Satu nama baru dalam senarai artis-artis kegemaran saya. Perkenalan dengannya berlaku apabila saya dapati kebanyakkan filem indonesia yang berunsur islamik memainkan lagu-lagunya. Bagi saya, melodi dan bait-bait kata liriknya sungguh indah. Tersangat indah.

Dengan mendengar lagu dari opick, saya seakan-akan menyelami hati dan perasaan seorang manusia yang dahagakan kasih-sayang dari Allah SWT. Terasa diri ini hina, penuh dosa dan mencari Dia untuk disandarkan segala hal. Samada suka atau duka. Lagu-lagunya sentiasa meniti dibibir saya. Hampir setiap perkara seperti memasak, membasuh pinggan, menulis tesis...dipenuhi dengan lagu-lagunya. 

Seakan sahabat.


Saya suka. 

Mengapa? 

Kerana bagi saya, selain solat, zikrullah dan membaca Al-Quran, inilah juga salah satu kaedah untuk saya sentiasa merasakan keberadaan si Pencipta di sisi. Terasa Dia hidup dan sentiasa menemani saya, serta tidak putus mengingatiNya. Terapi jiwa dan minda.

Kadang-kala tanpa saya sedari, air mata deras mengalir. Dan kadang-kala ia mengalir tanpa saya tahu mengapa. Mungkin, kerana rindukan si Dia yang maha segala-galanya. 

Ya Allah! Aku lemah tanpaMu. 
Aku hanya harapkan agar Kau ampunkanlah dosa-dosaku, tetapkanlah keimananku serta kasihani dan sayangilah daku. Itu sahaja. 

~Cukuplah Engkau bagiku.~

Thursday, August 2, 2012

Ramadhan yang penuh barakah

Alhamdulillah. 
Segala puji bagi Allah SWT. Hanya Dia yang layak menerima segala pujian.

Allah SWT merancang, saya juga merancang. 
Tetapi, perancangan Allah SWT adalah yang sebaik-baik rancangan.
Jika kita selami tentang kehidupan ini, satu jawapan yang pasti kita jumpa di akhirnya.

Kita adalah makhluk Allah SWT yang sangat lemah. Kekuatan, kebijaksanaan, kehebatan kita yang mana dipandang sesama makhluk adalah sebenarnya milik si Pencipta kita. Kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa. Hatta, diri kita sendiri adalah kepunyaanNya.


Semua berlaku sekelip mata. Beberapa minggu lepas, saya merancang tarikh thesis review saya. Ini adalah milestone terakhir yang harus saya lalui sebagai seorang pelajar. Perancangan begitu teliti dan bagi saya tarikh pilihan saya itu kelihatan cukup pasti.


Tapi, Allah SWT mengajar saya. Jangan terlalu yakin dengan segala perancangan kita. Betul, kita harus merancang tetapi sediakan sedikit ruang kepada perancangan Allah SWT. Adab merancang, buatlah apa-apa rancangan tetapi akhirnya bertawakkal. Serahkan segalanya kepada Allah SWT. Dia tahu yang terbaik buat kita. 


Dengan hanya satu kiriman email kepada penyelia, perancangan saya berubah. Penyelia minta saya berjumpa dengan nya. Tanpa ayat bunga-bunga, terus dia kepada matlamat perjumpaan. 


"We complete your thesis review today"


@__@ 


Perancangan saya pada awalnya untuk buat 2 minggu lagi telah bertukar 2 minggu lebih awal. Allah SWT maha berkuasa. Kita yang sebenarnya kena ikut Dia, dan bukannya Dia yang ikut kita. Tersedar.


Alhamdulillah, Allah SWT itu memang penuh dengan kemurahan dan sifat kasihNya. Setelah mesyuarat selesai, dengan izinNya saya telah lulus dan mendapat komen yang sangat positif dari reviewer committee. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan, tetapi bukan di post ini. InsyaAllah, nanti.


Allahuakbar, Allah maha besar. Perjalanan hidupku ini hanya mendambakan limpahan kasih-sayangMu. Semoga rahmatMu sentiasa menjadi payung untuk aku berlindung. Dan kepadaMu jualah ku serahkan segala urusanku.
 

Sunday, July 29, 2012

MySecretRecipe: Nasi Kerabu Brisbane

Memang sudah lama teringin mahu menikmati nasi kerabu bersama ayam percik kelantan yang warna putih. Tapi apakan daya, tahap kerajinan masih belum datang. Akhirnya semalam, saya gagahkan juga diri memasak nasi kerabu. Mencabar juga memasak ketika berpuasa kerana kita tak tahu rasa sebenar makanan yang kita masak. Tawakkal sajala..>_<

Alhamdulillah, setelah berhempas pulas di dapur, siap juga nasi kerabu. Jangan tak percaya, budu pun ada ye dalam nasi kerabu ni. Saya bawa 4 botol budu asli dari kelantan, sedap. Ini adalah botol terakhir yang saya gunakan, itupun sudah tinggal suku! Beginilah hasilnya nasi kerabu Brisbane. Memang tak lengkap sebab tiada solok lada dan telur masin. Tapi, lepas jugalah keinginan nak menikmati nasi kerabu..=)



Resepi ini asalnya datang dari bonda tercinta saya. Cuma resepi ayam percik saya ambil dari chef hanieliza

Serunding ikan
3 ekor ikan kembung (ikan lain pun boleh) - dipanggang dan diambil isinya
1/4 kelapa parut (buang kulit arinya) atau 2 cawan desicated coconut
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 ditumbuk)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 sm halia (diketuk)
2 batang serai (diketuk)
1 sudu teh lada hitam
1 sudu teh gula
1 sudu teh garam

1. Masukkan sedikit bawang merah yang dimayang, serai ke dalam kelapa dan digoreng 
    tanpa minyak sehingga kuning
2. Isi ikan bakar, bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam, garam dan gula.      
    Kesemuanya ditumbuk halus, kemudian digaulkan dengan kelapa goreng (1). Kemudian
    rasalah sesuai dengan selera anda.

Kuah sambal
4 ulas bawang merah (2 dimayang, 2 dimesin)
4 ulas bawang putih
20 gm belacan
10 tangkai cili kering (direndam air panas dan dimesinkan)
2 sm halia
2 cawan santan cair
1 batang serai (diketuk)
2 sudu teh gula
1 sudu teh garam
1 sudu besar budu
1 asam keping

1. Mesinkan bawang merah, bawang putih, belacan, cili kering dan halia.
2. Campurkan santan, bahan mesin, bawang merah dimayang, serai, budu, asam keping, 
    garam dan gula. Masaklah dengan api perlahan sampai naik minyak dan pekat.

Ayam Percik Kelantan (Saya modified sikit resepi chef hanieliza)
1 ekor ayam (belah 4)
2 cawan santan (1 biji kelapa)
1 batang serai (diketuk)
3 keping asam keping
garam

Bahan Mesin
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 cm halia
2 cm lengkuas
3 batang serai  

1. Bersihkan ayam.
2. Masukkkan ayam dan semua bahan dalam kuali dan biarkan mendidih.
3. Keluarkan ayam dan masukkan dalam loyang.
4. Bakar dalam oven pada suhu 200'C selama 20 minit (gunakan api atas).
5. Masakkan kuah yg lebihan sehinga agak pekat.
6. Bila ayam telah garing boleh hidangkan dengan kuahnya.

Bahan untuk ulam
1/2 biji timun
1/4 biji kubis bulat
1 ikat daun kesum
2 batang serai 
2 kuntum bunga kantan
5 batang kacang panjang

Kesemua sayuran dipotong halus.

Nasi kerabu dihidangkan bersama keropok ikan, solok lada dan telur masin.

Saturday, July 28, 2012

Allah vs Dunia

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang Prof di telinga saya.

"Kamu kena balik cepat, nanti gaji makin naik. Bolehla beli handbag coach, kasut mahal-mahal, bercuti di London. Ada seorang Prof A tu dah boleh beli rumah campur dengan renovation nak 1 juta!"

Istighfar. Saya tersenyum kelat. Hati bercampur sedih.

Kenapa ya? Kenapa dunia yang kita jadikan matlamat? Terus-terang, saya betul-betul tidak setuju dengan pandangan sebegitu. Hanya bergurau? Ooo..tidak, saya secara total tidak boleh terima. Untuk membakar semangat? Bagi saya, bukan itu cara yang baik.

Apa jua tujuan kita, kita tidak boleh menerapkan material atau kesenangan hidup di dunia sebagai matlamat utama. Saya faham, prof tersebut berniat untuk membakar semangat staf yang sedang cuti belajar untuk pulang cepat berkhidmat di universiti tapi kita harus sedar matlamat utama kita adalah Allah SWT. Secara tidak langsung, kita sebenarnya mengajar sahabat-sahabat kita untuk lebih cintakan dunia dari akhirat yang menjadi destinasi kekal abadi.

Nak staf balik awal? Cuba cara ini.

"Paling penting sekali, anda kena betulkan niat. Koreksi niat anda. Belajar untuk mendapat redha Allah atau pangkat? Letakkan Allah sebagai matlamat insyaAllah dunia akan kejar anda."

Saya percaya dan yakin sekiranya kita lakukan sesuatu itu termasuklah menuntut ilmu jika di dahului dengan niat semata-mata kerana mencari redha Allah SWT, insyaAllah Allah SWT akan mempermudahkan segala urusan kita tanpa kita sangka. Jangan kita didik hati manusia dengan harta benda, kelak hati akan lalai dan terus cintakan dunia. Maka, makin terhijablah diri kita dengan Allah SWT. Wallahua'lam.

Thursday, July 26, 2012

Allah itu sangat dekat

Allah SWT adalah pencipta kita..Dia maha agung. 
Pencipta yang maha melihat, maha mendengar, maha mengetahui...
Dan Dia sangat dekat dengan kita.

Diri manusia penuh dengan rahsia. 
Rahsia Allah SWT yang terhijab dari diri kita yang penuh dosa dan rasa kecintaan kepada dunia. Muhasabah diri. Hati kita sentiasa berbolak-balik. Adakalanya rasa rindu dan cinta kepada Sang Pencipta hadir meluap-luap, dan adakalanya apabila rasa cinta kepada dunia datang, kita seakan lupa pada Dia yang hakikatnya sangat dekat dengan kita.

Menangis itu perlu. 
Kadang-kala, "rasa" itu hadir tanpa kita sangka. Satu perasaan yang sangat ikhlas dan suci, bukan dibuat-buat. Rasa rindu. Rindu yang amat kepada si Dia. 

Rindu? 

Satu perasaan yang diajar olehNya kepada kita. Rindu terjadi apabila kita telah mengenali, berjumpa atau berhubungan dengan seseorang. Jika "rasa" rindu pada si Dia itu hadir, terfikir...adakah kita pernah bertemu dengan Sang Pencipta kita sebelum ini??? 

Ya! Itu sudah pasti. Pertemuan sebelum kita masuk ke alam rahim. Pertemuan indah yang telah kita lupa kerana dunia telah mengaburi kita. Mata zahir, juga mata batin.

Oh Allah! Alangkah indahnya hidup ini jika Kau dapat singkapkan hijab antara aku denganMu. Agar mata zahir dan mata batin ku hanya dapat melihat dan merasakan keberadaanMu di setiap detik waktu.

Nikmatnya hidup ini jika kita dapat rasa keberadaan Allah SWT di mana-mana. Di depan, di belakang, di kiri, di kanan, di luar, di dalam. Rasa bertuhan yang sangat kuat. Dan kita akan dapati dunia yang fana ini amatlah kecil sehingga ke suatu tahap ianya tidaklah sangat memberi erti jika dibandingkan dengan alam akhirat yang kekal abadi.

"Dan Kami lebih dekat dengannya daripada urat lehernya sendiri." [Qaf, 50:16]

Wednesday, July 25, 2012

MySecretRecipe: Nasi Ayam

Buat sahabat ku yang tersayang, Intan.. mohon maaf atas keterlewatan berkongsi resepi. Semalam suami tersayang mengidam mahu makan rojak asma. Walaupun tak pernah membuat rojak, saya gagahkan juga la. Sepetang berperang di dapur sehingga terlupa akan janji kepada seorang sahabat. Sorry my dear..

Ok, untuk tidak menghampakannya, saya berkongsi resepi nasi ayam saya. Resepi yang saya reka sendiri..>__<. Bahan-bahan diagak-agak untuk 4 orang makan ye.



Saya akan mulakan dengan membuat sup ayam. Bahan-bahan:

2 biji bawang besar
3 biji bawang putih
1/2 inci halia
Ayam
Garam

1. Bawang besar, putih dan halia dihiris halus. 
2. Panaskan minyak, tumis bahan hirisan sampai kekuningan.
3. Tambahkan air (banyak pun takpe sebab nak guna untuk masak nasi dan sos).
4. Masukkan ayam dan garam, rebus sebentar sahaja, agak-agak ayam dah separuh masak.

Perapan ayam.
1. 3 biji bawang putih ditumbuk bersama 1/2 inci halia.
2. Campurkan kicap manis, sedikit madu dan sedikit minyak bijan.
3. Perapkan daging ayam yang direbus separuh masak tadi lebih kurang 3-4 jam.
4. Ayam kemudiannya dibakar.
  
Nasi. 
Sup ayam (ikut sukatan air beras masing-masing ye) digaul dengan beras. Masukkan 1 batang kayu manis (bersaiz sederhana besar), 1 biji bunga lawang, 2 biji buah pelaga, hirisan halia, daun pandan, sedikit garam dan minyak. Tanak beras sehingga masak.


Sos cili.
4 biji cili dibuang biji
3 biji bawang putih
1 biji buah tomato 
Sedikit sup ayam
Sedikit sos cili

1. Blender semua bahan di atas. 
2. Panaskan minyak, tumis bahan tersebut.
3. Perasakan dengan garam dan gula


Kicap cair.


2 biji bawang putih diketuk dan dihiris halus dan ditumis sampai kekuningan. Masukkan kicap manis dan sedikit sup.


Nasi ayam boleh dihidangkan bersama daun salad, hirisan timun dan tomato.