-->

Wednesday, July 25, 2012

Marhaban ya Ramadhan

Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah SWT di atas peluang yang diberikan untuk menikmati lagi keindahan bulan mulia, Ramadhan. 

Terus-terang, setelah hampir mencecah angka 30 baru saya merasai nikmat berpuasa. Sedih rasanya, sebab selama ini saya rasa puasa itu setakat menahan lapar dan dahaga. Pergi ke bazaar Ramadhan, hati dah tak keruan. Apa tidaknya, terhidang segala jenis makanan. Menu yang jarang jual di restoran pun semua ada. Beli itu ini sampai tak sedar, penuh tangan membimbit beg plastik!


Tapi...saya bersyukur. Allah SWT kurniakan saya ayah, mama dan suami yang sentiasa membimbing saya kearah kebaikan. Ingin saya kongsikan kata-kata bonda tercinta saya yang bagi saya sangat bermanfaat dan terkesan di hati..

"Puasa merupakan amalan rahsia antara hamba dan Rabbnya. Tiada siapa yang tahu puasanya melainkan dirinya dan Allah swt. Tuhan telah menganugerahkan manusia dengan fitrah dasar melalui rohani yg suci sehingga Islam mewajibkan berpuasa supaya kita dapat mengendalikan hawa nafsu untuk menuju kepada Nya.

Ketertipuan kita dengan jasad dan nafs menyebabkan kita lupa kepada Roh yang ada pada diri ini. Seandainya tidak dipaksa oleh Allah untuk berpuasa di bulan ramadhan maka kita tidak akan mampu sedar siapa hakikat diri kita yang sebenarnya. Berutunglah kita disedarkan dengan puasa ini dan dengan rahmat Allah yang turun di bulan ini.

Berpuasa itu adalah kemampuan kita untuk meninggalkan kecintaan dan kenikmatan An-Nafs (Jiwa dan jasad fizikal) demi mengutamakan kecintaan kepada Allah SWT dan keredhaanNya.

Apabila kita berjaya menahan diri seluruhnya dengan rela, redha dan pasrah maka kita dapatlah berpuasa dengan hakikat yg sebenarnya dan akhirnya kita akan dapat menyambut kemenangan di mana kita kembali kepada fitrah iaitu dekat dgn Allah swt dengan membantu mereka yg kurang bernasib baik dgn zakat fitrah. Hari kemenangan inilah yg kita sebut Hari Raya Aidilfitri- Hari kemenangan kerana kita berpuasa mengikut Roh kita (Suci, ikhlas) bukannya mengikut An-Nafs kita (jasad-nafsu). "

InsyaAllah, selagi nyawa masih dikandung badan, kita tidak terlambat. Bertafakkur sebentar, kenanglah segala apa yang telah kita lakukan selama ini. Soallah diri, samada kita berpuasa setakat menahan lapar dan dahaga, atau berpuasa untuk melatih an-nafs kita mengikut kehendak dan keperluan roh. 

Semoga Ramadhan kali ini memberi seribu erti dan sama-sama kita berusaha agar An-Nafs kita seiringan dengan Ar-Ruh untuk kembali kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment